KLUANG – Meskipun masih dalam berpantang, seorang ibu muda tetap bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Nur Syafiqah Azani, 19, baru sebulan melahirkan bayinya hari ini, turut membawa anak bersama-sama untuk mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, di sini hari ini.
Nur Syafiqah yang menggendong anak sulungnya itu, Nur Syafaa Atiya Mohd. Riyadh Irfan, tiba di Pusat Daerah Mengundi (PDM) berkenaan kira-kira pukul 8.45 pagi.
Dia yang tinggal di Tampoi, Johor Bahru bertolak sewal pukul 4 pagi tadi bersama suaminya bagi memastikan dapat menjadi antara pengundi terawal.
“Ini kali pertama saya mengundi, jadi saya tak mahu ketinggalan untuk sama-sama mengundi.
“Saya sebenarnya berasal dari Sarawak, tapi telah berpindah ke Taman Murni di sini, pada 2016 kerana ibu saya bekerja di Hospital Kluang.
“Selepas saya semak pendaftar pemilih tahun lepas, saya dapati saya merupakan pengundi di DUN Mahkota ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi pagi ini.
Tambah Nur Syafiqah, sebaik sahaja selesai mengundi, dia perlu terus pulang ke Johor Bahru kerana suaminya bekerja pada sebelah petang nanti. – MalaysiaGazette