Seramai 10 individu disyaki ahli GISBH telah disambung reman di Mahkamah Shah Alam pada Sabtu 28 September 2024.

SHAH ALAM – Seramai 10 individu dipercayai pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) telah disambung reman di Mahkamah Shah Alam pagi tadi.

Mereka terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berusia lingkungan antara 22 hingga 53 tahun dibawa menaiki kenderaan polis ke Kompleks Mahkamah Shah Alam sekitar jam 9.30 pagi tadi untuk permohonan sambung reman.

Timbalan Pendaftar Muhammad Firdaus Abdul Rashid telah membenarkan mereka disambung reman empat hingga tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan  dalam kes tersebut.

Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Pada 22 September lalu, seramai 29 individu yang dikaitkan dengan GISBH telah direman antara satu hingga tujuh hari di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini memaklumkan lebih 300 individu diberkas manakala 572 kanak-kanak diselamatkan polis di rumah jagaan yang diserbu menerusi Ops Global ke atas premis GISBH di seluruh negara sejak 11 September lalu.

Sebanyak 35 kertas siasatan dibuka dan 138 akaun bank mengandungi RM882,795 milik GISBH dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Razarudin juga memaklumkan premis GISBH yang tidak beroperasi dan ditutup di Sabah dan Sarawak akan digeledah dan disita menggunakan undang-undang yang sedia ada serta akan terus dipantau untuk menjejaki pengikutnya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here