Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua premis GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri itu ditutup, kata Menteri Besar Datuk Amirudin Shari.

Selain itu, aset syarikat berkenaan turut dirampas.

“Rumah perlindungan yang ada kaitan dengan GISBH memang kita arah tutup serta-merta termasuk sekolah agama.

“Itu memang tindakan segera yang sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor dan polis. Kalau ada lagi maklumat kita akan pergi (serbu dan tutup),” katanya selepas melancarkan Rumah Idaman, Putra Idaman dan majlis pecah tanah Saujana Idaman di Cyberjaya hari ini.

Amirudin berkata, beliau akan mengumumkan jumlah keseluruhan premis termasuk rumah perlindungan dan sekolah agama berkaitan kumpulan tersebut yang berada di Selangor pada Rabu ini.

Katanya, kerajaan negeri akan membantu kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH.

“Saya juga nak tengok pada Isnin nanti nasib anak-anak (GISBH) yang tidak bersekolah ataupun yang ditahan oleh pihak berkuasa sekarang.

“Isunya (adalah) isu pendidikan dan masa depan mereka yang penting, kerajaan negeri akan cuba bantu sebab itu keutamaan kita,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan tindakan terhadap isu-isu berkaitan GISBH dipercepatkan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here