Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun bercakap ketika ditemubual selepas hadir melawat pusat mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota di pusat mengundi awal Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini, boleh melebihi 60 peratus.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jangkaan itu berdasarkan peratusan keluar mengundi setakat pukul 11 pagi ini yang mencecah 23.39 peratus.

Ujar beliau, peratusan keluar mengundi itu sedikit lebih tinggi berbanding ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu iaitu sekitar 22.4 peratus setakat tempoh sama yang mana peratusan keluar mengundi PRN lalu pula sebanyak 57 peratus.

“Kita lihat ada peningkatan agak baik setakat ini dan berharap peratusan keluar mengundi ini akan terus meningkat bagi memastikan proses demokrasi ini berjalan lancar.

“Kita juga menyeru pengundi keluar lebih awal memandangkan cuaca diramal hujan pada sebelah petang nanti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian di Dewan Jubli, Jalan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Sementara itu, kata beliau, pemantauan SPR sepanjang pagi ini turut mendapati proses pengundian di semua pusat mengundi berjalan dengan tertib dan teratur.

Ditanya berkenaan laporan insiden tidak diingini sepanjang kempen PRK DUN Mahkota itu, beliau berkata, SPR difahamkan terdapat dua laporan polis telah dibuat, namun perkara tersebut di bawah siasatan pihak berkuasa berkenaan.

Seramai 61,274 pemilih biasa PRK DUN Mahkota akan menjalankan tanggungjawab mereka mengundi hari ini membabitkan 109 saluran di sebanyak 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) sehingga proses pengundian tamat tepat pukul 6 petang nanti.

Terdahulu, pada Selasa lalu, sebanyak 95.45 peratus daripada keseluruhan 4,437 pengundi dalam kalangan anggota tentera dan pasangan serta polis selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi PRK berkenaan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengeluarkan sebanyak 607 undi pos yang mana setakat pukul 3 petang semalam, sebanyak 576 daripadanya atau 94.89 peratus sudah dipulangkan semula kepada SPR. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here