Dr. Mohd Zamri Ibrahim

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pelajar yang layak secara akademik dapat mengikuti pengajian di universiti itu.

Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, dianggarkan 2,060 pelajar baharu akan mendaftar masuk ke UMT bagi pengajian Sarjana Muda sesi akademik 2024/2025 bermula 1 Oktober ini.

“Pelbagai inisiatif bantuan kewangan dan kebajikan telah disediakan, termasuk bantuan sara hidup serta bantuan zakat untuk pelajar yang layak.

Melalui inisiatif Bingkas Kasih, pihak HEPA, UMT telah mengenal pasti seramai 86 orang pelajar yang layak untuk menerima bantuan dengan jumlah bantuan sebanyak RM16,400.

Inisiatif Bingkas Kasih ini menawarkan bayaran yuran kemasukan dan sara hidup kepada yang layak untuk sesi pendaftaran masuk ke UMT.

Pihak HEPA juga telah menjadi penyelaras kepada bantuan yang telah ditawar oleh badan-badan lain seperti bantuan pembayaran yuran pendaftaran RM1000 oleh pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), bantuan tunai RM2500 daripada Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dan bantuan pendidikan oleh Yayasan Perkasa Siswa.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan mahasiswa yang tidak berkemampuan.

Usaha ini bagi memastikan semua pelajar yang layak dalam kalangan kurang berkemampuan tidak ketinggalan alam pelajaran dan dapat menikmati alam universiti
seperti rakan-rakan lain.

Selain bantuan kewangan segera, pelajar juga berpeluang untuk memohon biasiswa dibawah program Pembangunan Siswa Sulung 3.0 (SULUNG 3.0).

Tajaan biasiswa ini ditawarkan kepada semua pelajar baharu yang merupakan anak pertama dalam kalangan keluarga yang berjaya menyambung pengajian mereka diperingkat ijazah.

Pelajar yang ditawarkan biasiswa SULUNG 3.0 tidak perlu membayar yuran pengajian mereka sepanjang tempoh pengajian mereka di UMT. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here