empat isteri pemimpin GISBH dan tiga anak yang dibenarkan direman seminggu dibawa keluar oleh pasukan PDRM dari Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Empat isteri termasuk seorang wanita warga Australia dan tiga anak pimpinan tertinggi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) antara tujuh individu direman selama tujuh hari oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mahkamah Majistret di sini pada hari ini.

Kesemua individu berumur antara 18 hingga 55 tahun itu telah dibawa oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM sekitar jam 9.30 pagi dengan kawalan ketat untuk mendapatkan perintah reman.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Oktober telah dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Muhammad Firdaus Abdul Rashid.

Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Peguam Rosli Kamaruddin sebelum itu memaklumkan,  kesemua individu terbabit ditahan pada jam lebih kurang jam 9 malam Jumaat di sebuah kediaman di Rawang, semalam.

Selepas proses reman selesai, mereka kemudian dibawa ke Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH bersama 23 pengikutnya termasuk isteri dan anaknya telah dilanjutkan reman selama empat hari lagi sehingga Ahad ini di Mahkamah Shah Alam untuk membantu siasatan polis.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan menerima 10 laporan terbaharu daripada individu termasuk bekas ahli yang didakwa menjadi mangsa buruh paksa GISBH.

Katanya, mereka yang berumur 14 tahun hingga 20-an itu melibatkan kes yang berlaku sejak 2013 di Selangor, Sarawak dan Kedah.

Sejak 11 September lalu, lebih 300 individu diberkas manakala 572 kanak-kanak diselamatkan polis di rumah jagaan yang diserbu menerusi Ops Global.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here