Seorang pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota terlibat kemalangan di Jalan Haji Itnin Maarof, Taman Suria, Kluang hari ini selepas membuang undi.

KLUANG – Seorang pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota terlibat kemalangan di Jalan Haji Itnin Maarof, Taman Suria di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pada pukul 11 pagi itu berlaku selepas Norliza Mohd Yusof, 54, selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini.

Dia yang membonceng motosikal ditunggang anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak kira-kira 500 meter dari kejadian.

Akibat nahas itu, dia terbaring atas jalan.

“Semasa ingin membelok ke simpang ke Taman Suria, tiba-tiba motosikal  ditunggang anak saya berlanggar dengan seorang lagi penunggang motosikal yang juga baru sahaja selesai mengundi di sekolah sama.

“Mujur saya dan anak tidak mengalami kecederaan serius hanya cedera ringan di tangan dan kaki,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kejadian tersebut kemudian mendapat bantuan petugas media dan orang awam yang berada di situ.

Norliza berterima kasih kepada petugas media terbabit dan orang awam yang membantu mereka.

Sementara itu, petugas media terbabit, Nur Aisyah Mazalan berkata, semasa kejadian dia kebetulan melalui jalan tersebut lalu membantu mangsa.

Menurut jurufoto berkenaan, ketika itu dia dalam perjalanan ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim untuk menjalankan tugas.

“Saya tengok dia mengadu kesakitan selepas terjatuh motosikal yang ditunggang anak sulungnya, saya terus berhenti kereta bantu dia.

“Mak cik itu mengerang kesakitan dan muka pucat terkejut jatuh motosikal, dia cedera ringan, saya hantar dia pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari tempat kemalangan,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here