Syed Hussien beramah mesra dengan orang ramai dan peniaga di sebuah kedai makan di Bandar Kluang, hari ini

KLUANG – Pengundi menghantar isyarat supaya menghentikan politik yang agresif dan rasis dalam keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang baharu, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, rakyat menolak politik seperti itu yang hanya memecahbelahkan kaum.

“Perlu hentikan politik yang agresif dan rasis. Apa yang penting soal rakyat dan bagaimana jaga kepentingan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata demikian ketika ditemui semasa bertemu orang ramai di bandar ini, hari ini, selepas menang PRK DUN Mahkota.

Syed Hussien menang kerusi DUN Mahkota dengan memperoleh 27,995 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.

Beliau mendapat majoriti undi 20,648 jumlah lebih besar daripada majoriti undi diperoleh bekas ADUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada pilihan raya negeri (PRN) lalu iaitu 5,166 undi.

Mengulas lanjut, Syed Hussien mengakui sehingga kini, beliau masih terkejut dengan kemenangan BN yang memperoleh majoriti besar.

Jelasnya, majoriti besar itu memberikan isyarat untuk dirinya bekerja keras menyelesaikan isu rakyat dan membawa pembangunan di DUN Mahkota.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here