TOKYO- Kerajaan Tokyo melancarkan satu aplikasi cari jodoh baharu bagi pengguna telefon pintar yang menggunakan kepandaian buatan (AI) untuk memadankan individu-individu yang serius mengenai perkahwinan berdasarkan nilai mereka.
Agensi berita Kyodo melaporkan, aplikasi bernama Tokyo Enmusubi itu tersedia untuk pengguna berusia 18 tahun ke atas yang tinggal atau berulang ke Tokyo.
Katanya, para pengguna perlu menjalani temuduga secara dalam talian semasa mendaftar.
Mereka juga perlu menghantar sekeping foto untuk identifikasi dan dokumen-dokumen yang membuktikan butiran pendapatan dan status bujang dari segi perundangan.
Ini bagi memastikan tahap keselamatan aplikasi tersebut boleh terjamin.
Aplikasi tersebut merupakan salah satu usaha meluas Jepun dalam merangsang kadar kelahiran yang semakin merosot.
Sehubungan itu, kerajaan metropolitan Jepun mensasarkan untuk menyediakan sokongan terhadap golongan bujang serta berkeluarga di pelbagai peringkat kehidupan– bermula daripada pertemuan awal sehingga perkahwinan, kelahiran dan membesarkan anak-anak.
Pengguna boleh memuat naik aplikasi di telefon pintar masing-masing atau mengakses platform berkenaan di laman web menerusi komputer.
Kos pendaftaran adalah sebanyak 11,000 yen (AS$77) dan keahlian sah sehingga dua tahun.
Teknologi AI boleh mencadangkan potensi pasangan berdasarkan penilaian terhadap 110 soalan.
Pengguna juga boleh mencari pasangan berdasarkan ciri-ciri yang mereka mahukan.
“Terdapat ramai yang mahu berkahwinan tetapi tidak aktif di dalam memulakan hubungan.
“Jadi kami mahu menggalakkan mereka mengambil langkah pertama,” katanya.- Agensi