Aminul menunjukkan rokok dan arak idak bercukai yang dirampas dalam serbuan, pada sidang akhbar di sidang akhbar di Menara Kastam, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menumpaskan kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok serta minuman keras seludup babitkan jumlah sitaan dan cukai RM13.9 juta.

Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, kejayaan itu adalah menerusi operasi di seluruh negeri ini termasuk satu serbuan di Kuala Lumpur antara 17 Julai lalu hingga 17 Ogos lalu.

“Serbuan dilakukan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah; Pelabuhan Pasir Gudang; Kuchai Lama, Kuala Lumpur; Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Taman Impian Emas di sini.

“Modus operandi semua sindiket terlibat adalah dengan membuat pengikraran tidak benar ke atas dagangan bagi mengelak dari dikesan pihak JKDM,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam di sini hari ini.

Katanya, dalam serbuan-serbuan yang dilakukan, terdapat sindiket yang mengikrarkan kontena mereka dengan membawa barangan seperti barangan plastik dan alatan sembahyang.

Aminul Izmeer, pihaknya turut melakukan serbuan di gudang simpanan selain yang dirampas dari dalam lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Dalam operasi sepanjang sebulan itu katanya, turut dilancarkan Ops Outlet yang meliputi kawasan di daerah ini, Gelang Patah, Muar, Batu Pahat, Pengerang, Pontian, Pasir Gudang dan Mersing.

Sebanyak 180 premis seperti kedai runcit, premis gudang, kediaman dan kedai makan diperiksa menghasilkan 95 kes dengan 76 tangkapan, katanya.

“Ini melibatkan seramai 39 warga tempatan dan 37 warga asing kerana disyaki terbabit dalam penjualan barang seludup termasuk rokok dan minuman keras,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here