Zambry.

KLUANG – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Johor.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kejayaan itu juga menunjukkan pengundi percaya dengan kebolehan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Dengan mandat besar yang diterima ia memperkuatkan lagi tekad BN untuk terus membawa politik kesederhanaan bersama-sama rakan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semoga kemenangan ini sempena dengan sambutan 50 Tahun BN akan menyuntik semangat membangunkan kembali seluruh potensi untuk bergerak ke hadapan membina kecemerlangan BN yang mendapat keyakinan dan sokongan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah menang kerusi DUN Mahkota memperoleh 27,995 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.

Zambry berkata, kemenangan itu merupakan satu amanah rakyat yang memberikan keyakinan kepada BN untuk terus istiqamah dalam mengangkat agenda membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyatnya.

Bagi pihak Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Dewan Tertinggi, beliau berkata, BN merakamkan jutaan terima kasih kepada pengundi DUN Mahkota atas sokongan yang diberikan.

Setinggi penghargaan juga katanya, untuk semua jentera parti BN yang berkampung sepanjang tempoh kempen dengan satu tekad memenangkan calon parti.

“Tidak ketinggalan kerjasama yang dihulurkan oleh rakan rakan parti daripada Pakatan Harapan memberikan sumbangan terhadap kemenangan yang cukup bermakna ini,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here