Tangkap layar video tular memaparkan sebuah pikap menghalang laluan ambulans di Ketereh, Kelantan

KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta seorang pemandu pikap jenis Mitsubishi Trioton yang tular kerana menghalang laluan ambulans untuk tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pemandu ambulans yang terlibat dalam kejadian itu juga diminta tampil membantu siasatan.

“Pihak polis meminta pemandu pikap dan pemandu ambulans yang terbabit hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kota Bharu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah beliau, pemandu pikap berkenaan boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 9(2) LN166/59 iaitu tidak memberi laluan kepada ambulans.

Tindakan boleh dihukum mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

Menurut Mohd. Rosdi, kejadian dipercayai berlaku di persimpangan Padang Lembek, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 46 saat tular di aplikasi TikTok https://vt.tiktok.com/ZS2gg59p1/ memaparkan pemandu pikap Mitsubishi Triton menghalang laluan ambulans walaupun siren kecemasan dibunyikan beberapa kali, jam 7 malam tadi.

Sehubungan itu, Mohd Rosdi menasihatkan semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi peraturan lalu lintas yang menekankan kerjasama, berhemah dan berhati-hati ketika berada di jalan raya.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kota Bharu, Asisten Superintendan Boon Chun Yee di talian 09-7752200 atau tampil ke IPD Kota Bharu atau balai berdekatan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here