Bavani (kanan) ketika meninjau insiden tanah mendap yang menjejaskan empat rumah di Taman Teja Batu Gajah, Perak hari ini.

BATU GAJAH – Punca sebenar insiden mendapan tanah yang mengakibatkan empat buah rumah di Taman Teja, dekat sini mengalami kerosakan semalam masih dalam siasatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, V Bavani berkata, setakat ini pihak Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan Lembaga Air Perak (LAP) telah meninjau keadaan sebenar yang berlaku di lokasi kejadian.

Menurutnya, selain itu, Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Kinta juga sudah dimaklumkan berhubung insiden berkenaan.

“Hujan lebat dan kebocoran dipercayai punca berlakunya mendapan tanah melibatkan empat buah rumah tersebut.

“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian tersebut masih dalam siasatan.

“Susulan kejadian itu, penghuni di rumah yang terjejas kini tinggal di rumah keluarga atay saudara terdekat sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata, MDBG juga dalam proses mengemukakan permohonan daripada kerajaan negeri untuk mendapatkan peruntukan kecemasan bagi membantu membaik pulih kawasan terjejas.

Sehubungan itu, beliau berharap masalah itu dapat diselesaikan segera supaya tidak berlaku insiden lebih buruk di kawasan taman perumahan yang sudah wujud sejak 30 tahun lalu.

Sementara itu, seorang mangsa, Chai Chuk Yen, 50, berkata, ketika kejadian dia hanya berseorangan di rumah manakala suaminya mempunyai urusan di Ipoh.

“Sewaktu keluar rumah saya lihat berlaku tanah mendap di depan rumah jiran. Saya

“Kejadian ini adalah yang pertama berlaku. Sebelum, ini rumah saya pernah terjejas akibat ribut.

“Saya berharap pihak yang berkaitan dapat mengatasi segera masalah berkenaan,” katanya.

Semalam, media melaporkan empat rumah mengalami kerosakan akibat kejadian mendapan tanah yang berlaku di hadapan kediaman tersebut di Lorong Teja Utama, Taman Teja, Tanjung Tualang dekat sini. – MG Perak

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here