Syed Hussien beramah mesra dengan orang ramai di sebuah kedai makan di Bandar Kluang, hari ini

KLUANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang baharu, Syed Hussien Syed Abdullah memulakan tugas dengan turun padang menyantuni penduduk setempat sebagai tanda terima kasih.

Seawal pukul 8 pagi, Syed Hussien yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang menziarahi pusara ayahnya, Syed Abdullah Syed Abdul Hamid di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu.

Beliau mendedikasikan kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota kepada allahyarham bapanya.

Jelas anak kedua daripada lima beradik itu, ini kerana bapanya menghembuskan nafas terakhir selepas tiga harinya diumumkan sebagai calon BN.

Selepas hampir setengah jam di tanah perkuburan, Syed Hussien berkunjung ke sebuah kopitiam di Laman Seni untuk bertemu penduduk setempat.

Kehadiran beliau disambut ceria oleh penduduk dan masing-masing mengambil kesempatan untuk bergambar dan merakamkan ucapan tahniah kepadanya.

“Tidak dapat dinafikan, sewaktu saya berkempen, ramai yang menceritakan kejayaan orang-orang terdahulu.

“Ini memberi satu inspirasi kepada saya untuk berkhidmat dengan lebih muhibah, lebih berkonsepkan kekeluargaan dan akan membawa Kluang ke arah yang baik,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, beberapa isu di DUN Mahkota akan diberi perhatian antaranya membantu golongan B40, banjir dan pendidikan.

“Bagi golongan B40, saya akan memastikan jualan kasih dan rahmah diadakan di setiap kawasan yang tumpuan penduduk termasuk di kampung- kampung.

“Berkenaan isu banjir, saya lihat banjir di Mahkota merupakan banjir kilat dan kerajaan sudah mempunya untuk mengatasi, namun saya tetap akan memperjuangkannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Syed Hussien Syed Abdullah menang kerusi DUN Mahkota dengan memperoleh 27,995 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.

Syed Hussien memperoleh majoriti undi 20,648.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here