Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis akan menutup 10 jalan di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor bagi memberi laluan kepada kejohanan lumba basikal Le Tour De Langkawi (LtdL) 2024 yang berlansung pada 2 Oktober ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pelepasan acara peringkat ke empat itu akan bermula pada jam 12 tengah hari dari pekan Kuala Kubu Bharu dan berakhir di Daerah Bentong, Pahang.

“Sehubungan itu, polis akan membuat penutupan jalan sepenuhnya di pekan ini bermula esok sekitar jam 11 malam bagi memberi laluan kepada penganjur untuk membuat persiapan.

“Penutupan jalan ini akan dikawal polis dan anggota Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi memastikan aliran trafik berjalan dengan lancar semasa acara berlansung,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Antara jalan dan simpang yang ditutup adalah Jalan Kamaruddin, Jalan Raja Muda Jaafar, Jalan Rasathurai, Jalan Mat Kilau, Jalan Merdeka, simpang Jalan Masjid Kuala Kubu Bharu.

Turut ditutup adalah Jalan Abdul Hamid, simpang tiga Kampung Napi, smpang lampu isyarat Dataran Kuala Kubu Bharu dan Jalan Pahang.

“Pengguna dan penduduk di Hulu Selangor dinasihati supaya mematuhi arahan pihak berkuasa yang bertugas semasa acara perlumbaan Petronas LtdL 2024 peringkat ke empat berlangsung.

“Pengguna juga dinasihatkan merancang perjalanan atau keluar lebih awal ke destinasi supaya tidak tersekat semasa penutupan jalan dibuat nanti,” ujarnya.

Petronas LtdL 2024 bermula sejak semalam melibatkan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan 1,227.2 kilometer, turut membabitkan laluan di Pulau Langkawi dan dua bandar di Miri serta Bintulu, Sarawak. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here