Tiga individu maut apabila helikopter yang dinaiki mereka bertembung dengan talian elektrik berhampiran sebuah bandar di timur Sepanyol, semalam.

MADRID – Tiga orang maut apabila helikopter yang dinaiki mereka bertembung dengan talian elektrik berhampiran sebuah bandar di kawasan berbukit di timur Sepanyol, semalam.

Kemalangan itu berlaku sekitar jam 10 pagi waktu tempatan (0800 GMT) berhampiran bandar Pucol ketika ketiga-tiga mereka sedang menjalankan pemeriksaan kabel elektrik di situ.

Berdasarkan laporan, helikopter itu telah melanggar talian voltan tinggi dan terhempas di satu ladang berdekatan, mengorbankan semua nyawa penumpang.

Namun, punca kemalangan berlaku masih lagi belum diketahui.

Perkhidmatan kecemasan di wilayah berkata, pihaknya telah menerima berita mengenai nahas itu.

“Kami telah menghantar sebuah helikopter yang membawa anggota pasukan penyelamat gunung khas, tiga jentera bomba, serta beberapa ambulans ke lokasi kejadian.

“Walau bagaimanapun, perkhidmatan perubatan mengesahkan kematian ketiga-tiga mangsa di lokasi nahas,” katanya.

Media tempatan turut melaporkan kawasan kemalangan masih berbahaya kerana kabel elektrik hidup tergantung di atas helikopter, manakala bahan api telah tumpah di kawasan tersebut akibat kemalangan itu. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here