Gambar hiasan

KUANTAN – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta ibu bapa dan pelajar kurang berkemampuan yang ditawarkan untuk melanjutkan Pendidikan ke Menara gading supaya menghubungi institut pengajian tinggi bagi mendapatkan bantuan yang disediakan.

Pada masa sama, para pelajar berkenaan diminta mendaftar masuk ke universiti terlebih dahulu.

Ini kerana, pihak universiti awam sudah diberi arahan untuk membuat penangguhan  pembayaran yuran kepada pelajar yang berkenaan  bagi mengelakkan penuntut keciciran, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

“Jika ada pelajar B40 yang tidak mampu bayar yuran pendaftaran awal itu kita sudah minta  pihak universiti awam tangguh dulu.

“Yang penting belajar dahulu, kita tidak mahu ada yang tersekat. Kemiskinan tidak patut dijadikan alasan untuk tidak melanjutkan pengajiran mereka di menara gading,” katanya.kepada media selepas merasmikan Simposium Elsevier MTUN ke-3 sempena Hari Akademia 2024 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Elsevier hari ini.

Mustapha berkata demikian ketika memberi reaksi kisah Rafida Zaiddin dari Sandakan yang mendaftar di Universiti Malaysia Sabah, di Kota Kinabalu dengan membawa karung guni sebagai bagasi cukup menyentuh hatinya.

Beliau berkata, pengalaman beliau sebagai Ahli Parlimen Sepanggar mendapati banyak kes sebegitu, sehinggakan ada dalam kalangan mereka melupakan hasrat menjejakkan kaki ke universiti.

“Kes Rafida hanya satu kes yang kita tahu, tapi sebenarnya banyak kes kemiskinan seperti ini,” ujarnya.

Mustapha berkata, KPT menyediakan pelbagai skim untuk membantu mereka seperti inisiatif bagi membantu pelajar daripada golongan keluarga B40 untuk ke menara gading menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) oleh KPT.

Menerusi program ini, mahasiswa yang merupakan wakil pertama dari keluarga B40 yang berkelayakan  akan dikecualikan sepenuhnya yuran pengajian di semua universiti awam.

“Jika dia dalam golongan B40 atau berdaftar dengan e-kasih tidak perlu bayar yuran sepanjang pengajian. Jadi kalau kes-kes sebegitu saya minta pada universiti, ibu bapa dan pelajar maklum supaya dimasukkan program Sulung itu,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here