Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh

KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes orang hilang (OH) melibatkan pesara pegawai kewangan Felcra di Baling, Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, tangkapan kedua-dua suspek warga tempatan berusia 26 dan 38 tahun itu dibuat di Johor pada 27 September lalu.

“Hasil soal siasat yang dijalankan, membawa kepada pengakuan kedua-dua suspek bahawa mangsa (OH) telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra, Kedah dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih gagal ditemui dan usaha mencari masih diteruskan pihak polis dengan bantuan agensi-agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pesara pegawai kewangan, Sabari Baharom, 62 dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, pada 3 September lalu. pesara pegawai kewangan, Sabari Baharom, 62 dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, pada 3 September lalu.

Tambah beliau, dengan tangkapan kedua-dua suspek, polis berjaya menyelesaikan kes OH dan siasatan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis juga telah memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa dan semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian.

“Selain itu, diminta menghormati serta menjaga sensitiviti pihak keluarga mangsa. Orang ramai juga diminta membantu dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan, pesara pegawai kewangan, Sabari Baharom, 62 dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, pada 3 September lalu.

Mangsa bagaimanapun masih hilang hingga kini namun kereta Proton Waja yang dipandunya ditemui penduduk dalam keadaan terbakar di Belantik, Sik.

Anak mangsa, Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, yakin bapanya masih hidup dan selepas meneliti beberapa akaun milik bapanya melalui aplikasi dalam talian, terdapat pemindahan wang dari salah satu akaun bank bapanya ke akaun lain milik seorang wanita.

Pada 24 September, polis telah menahan seorang wanita berusia 62 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit berikutan terdapat beberapa transaksi pengeluaran wang Sabari dilakukan sepanjang tempoh mangsa dilaporkan hilang.

Bagaimanapun Fisol tidak mengulas ketika ditanya adakah wanita itu individu dilihat melalui kamera litar tertutup (CCTV) melakukan transaksi wang berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here