Erik Ten Hag. Foto Sky Sports.
LONDON – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mengakui tidak pernah bimbang dengan kemungkinan dipecat selepas pasukannya mengalami kekalahan 3-0 kepada Tottenham Hotspurs di tempat sendiri, awal pagi tadi.
Pengendali kelahiran Belanda menegaskan tidak terlalu memikirkan tentang dipecat kerana keputusan untuk beliau berkhidmat lebih lama bersama kelab telah dibuat oleh semua pihak yang terlibat di kelab itu sebelum ini.
Namun beliau sedar terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki di United kerana percaya proses penambahbaikan pasukan akan mengambil masa.
“Tidak, saya tidak memikirkan perkara ini (masa depan) dan saya rasa kami semua telah membuat keputusan untuk kekal bersama dan juga kami telah membuat keputusan berdasarkan gambaran keseluruhan yang jelas.
“Ini juga tentang perkara yang perlu kami perbaiki sebagai sebuah organisasi dan bagaimana kami mahu membina skuad.
“Dan itu semua keputusan yang dibuat dengan persetujuan bersama, tetapi kami juga tahu bahawa ia akan mengambil masa dan bagaimana pasaran perpindahan berjalan kerana jika dilihat beberapa pemain yang datang lewat seperti (Manuel) Ugarte, kami perlu mengintegrasikan mereka sekarang,” katanya di laman web kelab.
Kekalahan memalukan itu kini menambah tekanan kepada kedudukan Ten Hag selepas prestasi buruk Manchester United pada permulaan musim Liga Perdana Inggeris.
Ten Hag menambah, United kami perlu melakukan beberapa penambahbaikan dari segi organisasi dan kelab itu masih perlu berdepan dengan beberapa siri kecederaan.
“Saya fikir kami akan menjadi lebih baik namun memerlukan masa. Kami semua berada dalam satu tujuan di mana kami umpama berada dalam satu kapal bersama dengan pemilik, kumpulan kepimpinan, kakitangan dan pemain serta disebabkan itulah saya tidak pernah bimbang,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast