Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Sebanyak 80 peratus daripada 64,000 kediaman anggota polis di negara ini layak didiami manakala 15 peratus lagi tidak boleh diduduki.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa kebajikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama dalam aspek kediaman diberikan perhatian sewajarnya.

“Sebagai agensi penguatkuasaan terbesar di negara kita (polis), satu aspek yang telah lama diabaikan ialah aspek kebajikan…dan oleh itu, saya mohon diberikan lebih perhatian.

“Terdapat 64,000 unit di seluruh negara, 80 peratus boleh didiami, 15 peratus tidak boleh didiami dan kemudian terdapat baki peratusan dengan beberapa penambahbaikan kecil, boleh didiami,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Menurutnya, 15 peratus unit-unit ini mempunyai lantai yang tidak boleh digunakan, bekalan air dan kabinet serta pendawaian usang .

Disebabkan itu Saifuddin berkata, unit yang tidak boleh didiami dan yang memerlukan pembaikan kecil akan menjadi keutamaan.

“Jika penambahbaikan juga boleh dilakukan kepada unit yang memerlukan pembaikan kecil supaya menjadikannya segera boleh didiami, itu juga akan menjadi keutamaan,” ujarnya.

Beliau turut menggesa perlunya perancangan bersasar meskipun mengakui bajet yang ada mungkin tidak mencukupi untuk menangani semua perkara itu secara serentak.

Tambah beliau, pihaknya mengutamakan kerja-kerja pembaikan dilakukan terutamanya di kawasan kos hidup tinggi seperti di Kuching, Sarawak kerana kadar sewa mahal.

“Kita mempunyai pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan kakitangan lain. Jika mereka perlu membayar sewa, itu menjadi beban,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here