Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa

LABUAN- Peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) dijangka dikurangkan dalam Belanjawan 2025 selari dengan usaha mengurangkan perbelanjaan.

Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai pengurangan itu yang bertujuan mengurangkan kos tetapi memberi jaminan program pembangunan sosioekonomi tidak akan dikompromi.

Katanya, JPM telah menyerahkan senarai keutamaan kepada MoF untuk memastikan pelaksanaan program sosioekonomi pada 2025.

“Kita telah membentangkan cadangan belanjawan JPM kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan pada Oktober nanti kami akan mendapat tahu peruntukan yang bakal diterima,” katanya pada penutupan Festival Kesenian Borneo di Financial Park Convention Hall, di sini, semalam.

Mengulas mengenai bidang perniagaan di sini, Dr Zaliha menegaskan dasar kerajaan yang fleksibel dan mesra perniagaan bagi menarik pelabur asing, terutama ke Labuan.

Beliau turut memaklumkan akan berkunjung ke China minggu depan untuk bertemu bakal pelabur yang berminat untuk menerokai peluang perniagaan di Labuan.

Selain itu, beliau mengulas mengenai isu utiliti di sini, yang menurutnya akan diselesaikan antara 2027 hingga 2028.

Dr Zaliha turut memuji kejayaan penganjuran Festival Kesenian Borneo, acara berteraskan penggalakkan pelancongan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai negeri.

“Festival ini berpotensi menjadi produk pelancongan bagi Labuan, namun pembaikan perlu ada bagi menarik lebih ramai pelancong ke pulau itu,” katanya.

– BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here