KUALA LUMPUR- Seorang bayi, tiga kanak-kanak dan seorang remaja rentung dalam kebakaran di kawasan setinggan di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas, Sabah, tengahari tadi.
Difahamkan lima mangsa tersebut adalah anak daripada dua keluarga yang berjiran.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata, kebakaran dilaporkan membabitkan empat rumah dan sebuah gerai pada kira-kira jam 12.40 tengah hari.
“Semua mangsa ditemui rentung dalam bilik mandi salah sebuah rumah yang terbakar dalam kejadian itu.
“Pihak bomba menjalankan kerja-kerja membawa keluar mayat mangsa yang rentung,” katanya.
Menurut Kasim, polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.47 tengah hari.
Susulan itu, sepasukan 35 pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan dibantu BBP Kota Kinabalu, BBP Tuaran dan BBP Putatan dikerah ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, kebakaran dapat dikawal jam 1.29 tengahari namun pasukan bomba masih lagi memadam bara-bara api dan mendapatkan maklumat terperinci mengenai mangsa yang terlibat.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette