Suriatuddin Maliki, 68, dilihat keluar dari rumahnya sekitar 5.50 pagi semalam namun gagal dikesan sehingga hari ini.

MELAKA – Seorang wanita merayu orang ramai untuk membantu mencari bapanya yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Bukit Katil di sini awal pagi semalam.

Anak bongsunya yang hanya mahu dikenali Farah, berkata, bapanya, Suriatuddin Maliki, 68, dilihat keluar rumah sebelum subuh dan sempat dirakam sistem kamera litar tertutup jirannya pada pukul 5.50 pagi.

Menurutnya, kebiasaannya bapanya itu yang juga pesara kerajaan akan keluar rumah selepas solat subuh untuk berjoging dan akan pulang semula 30 minit selepas itu.

“Sepatutnya, pagi semalam juga ayah ada janji temu doktor untuk ambil ubat sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi, membuatkan kami sekeluarga risau akan keadaannya.

“Kali terakhir ayah dilihat adalah melalui rakaman CCTV 7-Eleven di Ayer Molek sekitar pukul 8 hingga 8.20 pagi semalam memakai baru T warna biru, seluar hitam dan membawa beg silang berwarna hitam,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, hasil semakan lanjut dengan orang ramai di sekitar mendapati, bapanya itu ada meminta bantuan peniaga di situ menempah perkhidmatan Ehailing untuk ke Melaka Sentral kerana mahu ke Kluang, Johor.

“Saya pelik kerana sudah 10 tahun kami tidak pulang ke kampung di Kluang setelah datuk meninggal dunia, malah tiada lagi saudara mara kami pulang ke sana.

“Laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Tiang Dua semalam kerana kami bimbang akan keselamatannya lebih-lebih lagi ayah pernah diserang strok menyebabkan pertuturannya sukar difahami, kadang-kala mempunyai masalah ingatan dan pendengaran,” katanya.

Tambah Farah ketika keluar rumah, ayahnya ada membawa sedikit wang tunai, kad ATM dan telefon bimbit namun tidak mempunyai sim kad menyebabkan pihak polis tidak dapat mengesan kedudukannya.

“Tolonglah kalau orang ramai jumpa ayah supaya hubungi balai polis terdekat atau saya di nombor 017-8870104 atau kakak, 017-3795024.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan Orang Hilang (OH) berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast