Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhammad Akmal Salleh bercakap di Program Skop MG ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 OGOS 2024

MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong kerana menuduhnya sebagai punca pengundi Cina tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Sabtu lalu.

Beliau berkata, kononnya perbalahan antara beliau dan Naib Presiden DAP, Teresa Kok menjadi punca tidak sepatutnya timbul.

“Di PRK DUN Sungai Bakap, Dr Akmal tak ada pun, tapi peratusan pengundi Cina dan India juga didapati merosot berbanding pilihan raya terdahulu.

“Sepatutnya beliau bermuhasabah kenapa pengundi Cina lari dari DAP dan bukannya letakkan kesalahan serta kegagalan kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan
Chin Tong bahawa perbalahan antara kedua-dua pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan itu menjadi faktor mendorong pengundi Cina untuk protes dan tidak menunaikan tanggungjawab mengundi.

Kelmarin, Institut Darul Ehsan (IDE) dilaporkan menganggarkan kadar peratusan keluar mengundi mengikut kaum pada PRK DUN Mahkota ialah pengundi Melayu sebanyak 61 peratus; Cina (49 peratus) dan India (48 peratus).

Mengulas lanjut Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, sepanjang kempen Pakatan Harapan (PH) berjaya meyakinkan ramai pengundi untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

Syed Hussien menang kerusi DUN Mahkota dengan memperoleh 27,995 undi menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini dilaporkan berkata, peratusan pengundi Cina dan India merosot 10 hingga 13 peratus dikesan antara punca kekalahan PH pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai lalu.

Keadaan itu sedikit sebanyak menyebabkan PH hilang sekitar 1,000 hingga 2,000 undi. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here