ANWAR Ibrahim ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan infrastruktur awan iaitu projek terbaru Google menerusi inisiatif Mantap Malaysia Bersama AI, di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperkasakan seluruh rakyat dengan keterangkuman digital menerusi penggunaan teknologi awan (cloud technology) pada masa depan.

Menurut Perdana Menteri, ia merupakan salah satu daripada empat teras Dasar Pengkomputeran Awan Negara (National Cloud Policy) yang sedang dirangka kerajaan yang antara lain bertujuan meningkatkan inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam.

“Dengan memanfaatkan teknologi pengkomputeran awan juga, kerajaan menyasarkan untuk memodenkan pentadbiran kerajaan, menggalakkan penglibatan rakyat dan memperkemas penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan infrastruktur awan iaitu projek terbaru Google menerusi inisiatif Mantap Malaysia Bersama AI, di sini hari ini.

Menerusi inisiatif itu, Google akan membina pusat data dan infrastruktur awan tersebut di Elmina Business Park, Selangor membabitkan pelaburan sebanyak AS$ 2 bilion.

Yang urut hadir, Presiden dan juga Ketua Pegawai Pelaburan Google dan Alphabet, Ruth Porat dan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tambah Perdana Menteri, teras lain menerusi Dasar Pengkomputeran Awan Negara itu juga termasuk menggalakkan persaingan dan pertumbuhan ekonomi dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi pengkomputeran awan.

Jelasnya, syarikat-syarikat baharu serta kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menggunakan teknologi pengkomputeran awan untuk meningkatkan kecekapan operasi mereka selain akses kepada pasaran global.

Dalam masa sama, ujar beliau, kerajaan menerusi dasar itu juga komited untuk memperkukuhkan kepercayaan pengguna khususnya dalam aspek keselamatan data.

“Kerajaan akan mewujudkan rangka kerja dan protokol keselamatan yang teguh untuk melindungi data sensitif dan infrastruktur kritikal dalam kedua-dua persekitaran awan awam dan swasta,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, penyertaan Google di Malaysia dengan pembukaan pusat data dan infrastruktur pengkomputeran awan menerusi inisiatif Mantap Malaysia Bersama AI itu memberi makna yang besar dalam mengangkat keupayaan negara dalam bidang digital.

Jelas beliau, ia juga menyokong kepada kerangka ekonomi Madani serta beberapa dasar dan pelan perindustrian yang menjurus kepada perkembangan dunia digital seperti yang telah dilaksanakan negara ketika ini.

“Inisiatif Google itu juga serasi dengan keperluan semasa digital negara yang inklusif dan tidak meninggalkan seluruh kelompok masyarakat di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here