KUNAK – Seorang pekerja ladang yang dilaporkan hilang selepas dikhuatiri disambar buaya ditemui meninggal dunia di kawasan paya bakau berhampiran sebuah ladang di Kunak, Sabah.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kunak (BBP) Mohammad Omarbatha, Ridwan Nawir berusia 50-an dijumpai pada jam 9.41 pagi dalam keadaan mengerikan, tanpa kaki kiri dan badan serta kepala hanya tinggal separuh.
“Mayat mangsa ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua menggunakan kaedah pencarian di permukaan air yang dimulakan pada jam 7.10 pagi.
“Mangsa sebelum ini dilihat di mulut buaya namun sukar diselamatkan sebelum ditemui 600 meter dari lokasi serangan dalam keadaan tidak sempurna,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mayat kemudiannya dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada jam 10.48 pagi.
Semalam, seorang lelaki dikhuatiri hilang dibaham buaya di Sungai Ladang Jatika Jalan Kunak–Semporna ketika keluar memukat ikan yang disaksikan rakannya sendiri. – MalaysiaGazette