Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

KUALA LUMPUR – Pengawal selia perlu sentiasa peka terhadap maklum balas daripada pelbagai pihak sebagai sebahagian daripada proses penglibatan mereka dalam mengintegrasikan inovasi.

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Dr Wong Huei Ching berkata, adalah penting untuk mendengar maklum balas pelbagai isu daripada pihak berkepentingan, termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO), ketua pegawai teknologi (CTO), serta anggota pasukan kerja lain yang terlibat dalam mengemukakan pelbagai cadangan.

“Kami menganalisis semua maklum balas itu dan juga meneliti bidang kuasa lain untuk mengenal pasti trend, serta keperluan untuk memanfaatkan teknologi baharu.”

“Perkara lain ialah meneruskan kajian percubaan, contohnya, dengan memperkenalkan sandbox pengawalseliaan.

“Sandbox tersebut berfungsi sebagai persekitaran terkawal, dan sandbox memainkan peranan ke arah pendekatan melesenkan pemain industri,” katanya kepada pemberita selepas sesi panel ‘Jumpstart Dialogue – Regulators on The Future of Finance’ sempena Sidang Kemuncak Fintech SCxSC 2024 di sini hari ini.

SC akan memperkenalkan sandbox pengawalseliaan dan mempertingkatkan rangka kerja kawal selianya untuk menggalakkan tokenisasi sekuriti bagi membantu merangsang inovasi dalam pasaran modal.

Sementara itu, Wong seterusnya berkata melalui kajian percubaan, pengawal selia akan lebih memahami realiti dan dapat mengoperasikan produk serta perkhidmatan dalam pasaran secara besar-besaran.

Beliau juga menggalakkan pengawal selia dan industri untuk meneroka lebih banyak projek perintis dan inisiatif lain untuk membawa inovasi dan memahami sektor yang kurang mendapat perkhidmatan.

Pemain industri juga perlu memahami teknologi dengan lebih baik dan membezakan teknologi daripada inovasi.

“Untuk bergerak ke hadapan bukan hanya bergantung kepada CTO. Kini, CEO juga perlu tahu bagaimana teknologi membantu mereka dengan model dan strategi perniagaan. Perkara ini perlu diperbincangkan di peringkat kepimpinan,” katanya. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here