JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) tidak perlu memohon maaf terhadap Barisan Nasional (BN) bagi menjernihkan hubungan selepas mereka menang besar mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota.
Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau menegaskan, gesaan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Nur Jazlan Mohamed supaya PH berbuat demikian adalah tidak wajar.
Sebaliknya kata Bekas Pengerusi DAP Johor itu, Nur Jazlan perlu menarik balik gesaannya itu dan BN atau UMNO harus berterima kasih secara terbuka kepada PH.
Cheng Hau berkata, selepas kajian mendalam PRK DUN Mahkota dijalankan, terdapat kira-kira 14,000 pengundi penyokong PH daripada lebih 27,000 undi diperoleh mereka, membantu memenangkan calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah.
Jelasnya, ini termasuk sumbangan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memulihkan ekonomi yang uzur sambil ‘menyelamatkan nyawa’ BN dan UMNO.
Justeru kata beliau, dakwaan Nur Jazlan PH sebelum ini mencipta persepsi negatif dalam kalangan pengundi dengan fitnah dan tohmahan hingga mencemarkan imej UMNO adalah tidak benar.
“BN-UMNO harus bertanggungjawab sepenuhnya atas segala salah urus sosioekonomi dan rasuah yang berleluasa semasa memerintah dengan kuasa yang mutlak sebelum ini dan meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia.
“BN-UMNO dan penyakit sosioekonomi negara seumpama pesakit kencing manis yang tenat dengan jari-jari kaki menjadi gangren memerlukan amputasi bagi menyelamatkan nyawanya sebelum sepsis berlaku.
“PH bawah pimpinan Anwar telah melakukan reformasi yang berani seperti amputasi jari-jari kaki gangren yang telah menyelamatkan bukan sahaja UMNO tetapi juga negara daripada kemusnahan.
“Oleh itu BN-UMNO bukan sahaja harus menarik balik tuntutannya agar PH memohon maaf, sebaliknya ia harus berterima kasih kepada PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PH umpama seorang pakar bedah yang baik dan cekap melakukan pembedahan amputasi jari kaki gangren serta menyelamatkan nyawa pesakit kencing manis yang tenat.
Menurutnya, pesakit kencing manis tenat itu adalah BN-UMNO yang sepatutnya berterima kasih kepada PH iaitu pakar bedah yang menyelamatkan nyawa mereka.
Katanya, kerjasama PH dengan gabungan politik itu adalah bersyarat iaitu BN-UMNO perlu berazam untuk melakukan reformasi terhadap diri sendiri dan institusi-institusi negara.
“Ini seperti pesakit kencing manis tenat yang sanggup mematuhi preskripsi, nasihat dan diet ditentukan oleh doktor. Jika tidak, BN-UMNO terpaksa berdepan keseorangan dengan keputusan pengundi dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Nur Jazlan dalam satu kemyataan semalam mendakwa, PH perlu sedar dan mungkin kena minta maaf kepada UMNO atas segala tohmahan, tuduhan dan persepsi yang telah mereka cipta sejak berpuluh tahun lalu hingga menyebabkan UMNO dipandang kotor oleh para pengundi.
Menurut beliau, ini kerana PH hari ini amat memerlukan sokongan UMNO untuk terus jadi kerajaan.
Tegas Nur Jazlan, PH perlu terima hakikat bahawa mereka tidak boleh terus bawa sentimen lama, terutama terhadap UMNO.
“PH sejak puluh tahun dulu duduk serang UMNO, sampai berjaya cipta persepsi buruk dalam kalangan pengundi kononnya UMNO ni penuh dengan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa.
“Tapi ironinya, hari ini PH terpaksa bergantung pada UMNO untuk kekal berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette