Prof. Dr. Mohd Izani Mohd ... peninjau proses pendaftaran pelajar.

KUALA TERENGGANU – Seramai 2,060 pelajar baharu program Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2024/2025 mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mulai hari ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 238 pelajar adalah lepasan Asasi Sains, Teknologi, Engeneering dan Matematik (STEM) yang merupakan ‘produk’ UMT.

Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihak pengurusan UMT komited dan memberi jaminan dalam memastikan pelajar dapat mengikuti alam kampus dengan baik serta dapat menghabiskan pembelajaran dengan cemerlang di UMT, seterusnya melahirkan graduan yang berdaya saing.

Tambahnya, semua pelajar perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk mencapai kejayaan akademik dan menyumbang kepada negara serta mengucapkan tahniah kepada pelajar dan semua ibu bapa kerana memilih UMT sebagai universiti pilihan utama.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain bersama pihak Pengurusan Universiti sama-sama turun padang bagi meninjau proses pendaftaran dan kemasukan pelajar ke kampus UMT, malah sempat beramah mesra dengan para pelajar dan ibu bapa.

“Alhamdulillah seawal 7.30 pagi para pelajar bersama keluarga telah bersedia untuk sesi pendaftaran di Dewan Sultan Mizan (DSM) dan disambut oleh para petugas. Proses pendaftaran dan kemasukan pelajar juga berjalan lancar dengan kerjasama petugas seramai 350 orang yang merupakan fasilitator dalam kalangan pelajar senior, staf dan sukarelawan,” katanya.

Tambahnya Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan berlangsung pada 1 hingga 5 Oktober, yang mana mana pelajar akan mengikuti sesi taklimat di Dewan Sultan Mizan serta di Kolej Kediaman yang merangkumi sesi pengenalan berkaitan akademik dan hal ehwal pelajar.

Mereka juga akan terlibat dengan pelbagai aktiviti antaranya sukan dan kesenian serta dibawa melawat fakulti masing-masing.

UMT turut menawarkan program pengajian baharu untuk pengambilan sesi Akademik 2024/2025 iaitu Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian dan menerima pelajar sulungnya seramai 82 orang untuk sesi ini. Manakala 33 program sarjana muda yang telah ditawarkan UMT setakat ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here