Gambar hiasan

GENEVA – Menjelang 2030, populasi global berumur 65 tahun ke atas dijangka melebihi jumlah belia, dengan warga tua diunjurkan berganda daripada bilangan kanak-kanak bawah lima tahun.

Pada tahun 1990, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1 Oktober sebagai “Hari Orang Tua Antarabangsa” untuk menangani cabaran penduduk yang semakin tua dan memperbaiki keadaan warga emas.

Baru-baru ini, PBB mengunjurkan populasi global mencecah kira-kira 8.5 bilion menjelang 2030, 9.7 bilion menjelang 2050, dan 10.4 bilion pada 2100.

PBB mentakrifkan populasi belia sebagai mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun.

Penduduk global yang berumur 65 tahun ke atas diunjurkan lebih daripada dua kali ganda, mencecah 1.6 bilion menjelang 2050. Jika ramalan ini benar, warga emas akan merangkumi lebih 16% daripada populasi dunia.

Pada tahun 1950, individu berumur 65 tahun ke atas mewakili satu daripada 20 orang di seluruh dunia.

Menjelang 2021, nisbah ini telah berubah kepada satu dalam 10, dan dijangka menjelang 2050, kumpulan umur ini akan menyumbang satu daripada enam orang di seluruh dunia.

Asia, Eropah merekodkan populasi tertua di dunia, menurut Laporan Sosial Dunia 2023 PBB.

Jepun mendahului dengan 30% penduduknya berumur 65 tahun ke atas, diikuti Itali sebanyak 23%.

Finland, Portugal, dan Greece masing-masing mempunyai kadar populasi warga tua sekitar 22%.

Sementara itu, Hong Kong dan Korea Selatan dijangka mengatasi Jepun, dengan populasi warga emas mereka mencecah sehingga 40%.

Eropah Selatan, yang merangkumi Greece, Itali, Malta, Portugal dan Sepanyol—di mana populasi warga emas telah mencapai 21%—dianggap sebagai rantau tertua di dunia.

Penduduk tua semakin meningkat di negara membangun berbanding di negara maju.

Menjelang 2050, majoriti penduduk tua dunia dijangka menetap di negara membangun. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here