MELAKA – Seorang pemandu e-hailing menemui ajal dipercayai akibat serangan jantung sebelum kereta dipandu terbabas dalam nahas di Lebuh AMJ dekat Balai Panjang, Malim di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, mangsa Azmira Othman, 49, yang memandu kereta jenis Perodua Alza dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Lorong Pandan menuju ke Malim.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
“Sebelum itu, si mati dipercayai terkena serangan jantung lalu terbabas ke arah batu pembahagi jalan di lorong sebelah kanan.
“Akibatnya, lelaki itu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette