Tertuduh berusia 39 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya bulan lalu.

MELAKA – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya bulan lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya itu yang berusia 12 tahun dengan cara meramas payudara dan meraba kemaluan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Felda Bukit Senggeh dalam daerah Jasin antara pukul 10.30 malam dan 11 malam pada 26 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan sebagai tambahan hendaklah dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan hendaklah juga dihukum minimum dua sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan jaminan kerana mangsa adalah anak tiri tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon merayu jaminan rendah dengan alasan hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala isteri tidak bekerja.

Selain itu, tertuduh perlu menyara isteri, tiga anak masih bersekolah dan anak bongsu baru berusia tujuh bulan serta masih menjaga ibu bapanya.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan pemohonan jaminan kerana tiada penjamin yang hadir dan menetapkan 14 November ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast