Keadaan kereta yang bertembung dengan seorang pelajar Tingkatan 5 yang maut dalam nahas ketika dalam perjalanan ke sekolah di Jalan Dato Mat Zin Batu Berendam, Melaka pagi tadi.

MELAKA – Seorang pelajar Tingkatan 5 maut dalam nahas motosikal ketika dalam perjalanan ke sekolah di Jalan Dato Mat Zin Batu Berendam, di sini pagi tadi

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Batu Berendam, Muhammad Rusyaidi Mohd Razali,17, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y110 ketika itu datang dari arah Taman Merdeka dalam perjalanan menuju ke sekolah

“Siasatan awal mendapati, sebaik tiba di lokasi, terdapat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X Trai dipandu lelaki berusia 40 tahun hendak masuk ke simpang sebelah kanan jalan.

“Pada masa sama, mangsa yang datang dari arah belakang telah memotong di sebelah kanan jalan garisan berkembar menyebabkan berlaku pergeselan sehingga mangsa terbabas ke kanan jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Keadaan motosikal yang bertembung dengan sebuah kereta mengakibatkan seorang pelajar Tingkatan 5 yang maut dalam nahas ketika dalam perjalanan ke sekolah di Jalan Dato Mat Zin Batu Berendam, Melaka pagi tadi.

Tambahnya, mangsa kemudian bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang perancang perkahwinan berusia 41 tahun dari arah bertentangan.

“Pemandu berkenaan tidak sempat mengelak menyebabkannya menyeret motosikal mangsa ke arah kiri jalan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” tambahnya.

Jelasnya, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.

Christopher berkata, polis turut mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here