Anthony melihat notis peringatan kepada seorang pemandu kenderaan pendaftaran Singapura yang gagal melepasi sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) sejak dikuat kuasa di laluan keluar BSI , Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Sejumlah 112,658 kenderaan pendaftaran Singapura sudah memohon Permit Masuk Kenderaan (VEP) selepas pelaksanaan penguatkuasaannya di pintu sempadan darat Malaysia – Singapura yang bermula kelmarin.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah pendaftaran itu melebihi sasaran awal iaitu sekitar 80,000 hingga 100,000 kenderaan.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak 75,412 kenderaan yang telah memasang tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) VEP manakala selebihnya belum diaktifkan atau dipasang pemilik kenderaan.

“Namun hasil pemantauan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati ada kenderaan dari republik itu yang masih belum mendaftar VEP.

“Kaedah penguatkuasaan dijalankan secara berfasa iaitu dengan kaedah pengeluaran notis peringatan kepada pemilik dan pemandu kenderaan Singapura yang belum membuat pendaftaran VEP.

“Penguatkuasaan dilaksanakan di laluan keluar (outbound) Malaysia-Singapura secara rawak di kedua-dua pintu masuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) mendapati daripada 678 kenderaan diperiksa, hanya 50 notis dikeluarkan,” katanya.

Anthony berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke CIQ BSI di sini hari ini bagi melihat pelaksanaan VEP yang telah dikuatkuasakan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak berkuasa akan memberi tempoh masa tertentu kepada pemilik kenderaan Singapura untuk memohon VEP sebelum tindakan saman dikeluarkan.

Katanya, kementerian menyeru kepada pemilik kenderaan Singapura untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa memasuki dan keluar dari Malaysia.

“Kita tak letak garis masa untuk memohon VEP sebelum mengambil tindakan saman. Ini kerana pemilik kenderaan akan menunggu saat akhir juga untuk memohonnya.

“Kita sudah menghebahkan mengenai pelaksanaan VEP ini sudah lama, malah merancangnya untuk dibuat pada 2019 lagi sebelum terhenti akibat isu teknilal. Jadi, tidak sepatutnya timbul isu kelewatan atau tidak tahu mengenainya,” katanya.

Bagi kenderaan Singapura yang belum mendaftar VEP, katanya, JPJ juga boleh mengesan melalui semakan nombor pendaftaran kenderaan dengan menggunakan peranti penguatkuasaan yang dikekalkan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here