Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – “Sila jaga kelakuan, disiplin serta maruah anda semasa bertugas dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau sedia menghadapi akibatnya.”

Itu amaran tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kepada warga pasukan PDRM rentetan tangkapan 12 anggota yang disahkan positif dadah dalam Op Noda di sebuah pusat hiburan di Kedah malam tadi.

Katanya, polis tidak akan menutup mata terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang didapati bersalah terlibat jenayah dann masalah disiplin diri.

Dalam serbuan yang dilaksanakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani, seramai 48 individu telah diperiksa polis.

Hasilnya, seramai 31 individu daripadanya diuji positif dadah terlarang manakala dua daripadanya pegawai polis sementara 10 lagi merupakan anggota lain-lain pangkat.

“Saya telah mengarahkan Polis Kontinjen Kedah untuk menggantung kesemua pegawai dan anggota itu berkuatkuasa serta merta.

“Selain itu, kita juga akan mengambil tindakan ke atas mereka di bawah Peraturan 3C (Peraturan Pegawai Awam (Conduct and Discipline) 1993.

“Dalam pada itu, para pegawai penyelia yang bertanggungjawab mengawal pegawai dan anggota berkenaan akan dipindahkan daripada jawatan semasa kerana mereka tidak layak menguruskan anggota mereka,” katanya selepas dihubungi hari ini.

Razarudin mahu pegawai dan anggotanya menjadi contoh penjawat keselamatan terbaik kepada masyarakat dalam menjaga ketenteraman awam tanpa sebarang masalah disiplin dan salah laku.

“Kita menguatkuasakan undang-undang dan bertanggungjawab menjaga keselamatan serta ketenteraman awam maka pegawai dan anggota harus sentiasa patuh patuh kepada undang-undang.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota kami yang terlibat jenayah atau masalah disiplin.

“Biar, ini menjadi amaran tegas kepada mereka. Anda (pegawai dan anggota) diletakkan harapan untuk menegakkan undang-undang tetapi ia tidak bermakna kamu melangkaui undang-undang itu,” ujarnya.

Razarudin juga menegaskan PDRM tidak akan melindungi anggota ‘kotor’ sebegini mencalar imej polis. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here