Muhammad Faris Azri (baju hitam) didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Padah membuat aksi seretan tayar (drift) – pempengaruh TikTok yang lebih dikenali Choii dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret, Chia Huey Ting memutuskan hukuman tersebut selepas tertuduh, Muhammad Faris Azri Md Hanif, 25, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa memandu kereta jenis Mazda Roadster bernombor pendaftaran RY 7747 secara gopoh hingga mungkin menyebabkan bencana kepada orang lain.

Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, jam 3.45 pagi pada 28 September lalu.

Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani memohon hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran manakala tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan atas alasan dia telah insaf kesilapan dilakukan.

Mengikut fakta kes, lelaki itu didapati melakukan aksi seretan drift ketika berada di lampu isyarat Kampung Jawa di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.

Pada 29 September lalu, Muhammad Faris ditahan reman selama dua hari selepas dia ditahan semasa melakukan aksi drift ketika Operasi Khas Samseng Jalanan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas di sini.

Dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here