KUALA LUMPUR – Pemberian dana pendidikan tidak sepatutnya dilihat sebagai bebanan sebaliknya perlu dilihat dalam konteks sumbangan memandangkan ia tanggungjawab kerajaan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hampir semua negara di dunia melihat pendidikan adalah pelaburan negara pada masa depan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, pemberian dana pendidikan kerajaan kepada rakyat sama ada golongan kaya dan miskin juga tidak seharusnya dilihat dari perspektif ekonomi sahaja.
Sebaliknya, kerajaan juga perlu melihat kepada sumbangan golongan kaya kepada pendapatan kerajaan dan imbangan sumbangan tersebut kepada mereka.
“Mengukur pendidikan dengan nilai wang ringgit adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Tidak hairan, terdapat golongan miskin yang menghantar anak mereka ke institusi pendidikan yang terbaik sama ada dalam negara atau luar negara walaupun mereka terpaksa mengerah keringat untuk membayar yuran yang mahal.
“Ini semua tidak lain dan tidak bukan demi masa depan anak-anak mereka,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook semalam.
Tuan Ibrahim tidak tidak bermaksud ingin menyebelahi golongan kaya dan menidakkan usaha membantu golongan miskin kerana kedua-duanya adalah rakyat yang perlu disantuni kerajaan.
Namun, ujar beliau, hasrat kerajaan untuk mengenakan bayaran pendidikan yang mahal kepada anak-anak golongan kaya dengan alasan mereka mempunyai pendapatan yang tinggi perlu diperhalusi dan dipertimbangkan.
“Umum mengetahui lebih besar pendapatan individu maka lebih besar zakat dan cukai yang dikenakan. Seperti mana peribahasa melayu “besar periuk besarlah keraknya”,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan sepatutnya perlu lebih kreatif untuk mencari jalan menawarkan sistem sistem pendidkan yang boleh dinikmati rakyat secara murah atau percuma.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan boleh melihat kepada model sistem pendidikan dan universiti yang dibiayai melalui sistem waqaf seperti mana yang dilakukan oleh Universiti Al-Azhar, Mesir atau universiti lain di dunia satu masa dahulu.
“Melalui sistem ini, pelajar miskin dibiayai melalui bantuan pendidikan atau biasiswa atau beberapa pengecualian bayaran yuran pengajian,” katanya.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, apa yang sepatutnya dibimbangi kerajaan ketika ini ialah pertambahan jumlah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berminat menyambung pengajian di universiti dan memilih bekerja dalam sektor gig-ekonomi atau perkilangan.
Jelasnya, negara akan terdedah kepada risiko kehilangan tenaga kerja mahir pada masa hadapan dengan situasi itu.
“Oleh itu, kerajaan harus terus memberi galakkan dan bantuan pelajar cemerlang tanpa mengira status pendapatan keluarga mereka,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan subsidi pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik kerajaan akan dihentikan, kerana tindakan berterusan itu sebagai tindakan tidak adil, yang mana dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin. – MalaysiaGazette