Foto FB Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Penyandang juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mendapat pengiktirafan di peringkat Asia apabila muncul sebagai pasukan kelima terbaik.

Menerusi kemas kini terbaharu laman Opta Power Ranking semalam, hanya empat pasukan berjaya mengatasi kedudukan JDT di Asia ketika ini iaitu Al-Hilal, Al-Nassr, Vissel Kobe dan Sanfrecce Hiroshima.

Kedudukan itu meletakkan skuad bimbingan Hector Bidoglio sebagai pasukan pertama di Asia Tenggara ketika pencabar terdekat mereka Buriram United berada di tangga ke-24 Asia.

JDT juga kini berada di ranking ke-231 dunia dan tiada pasukan lain dari Malaysia berada dalam senarai 1,000 pasukan terbaik.

Terdahulu, pendahulu Liga Super itu menampilkan aksi memberangsangkan dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit 2024-25 apabila mengutip empat mata selepas dua perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan JDT ketika ini berada di tangga kedua bagi kedudukan Zon Timur di belakang pendahulu, Gwangju yang cemerlang mengutip enam mata selepas dua perlawanan.

Hanya lapan pasukan terbaik melayakkan diri ke pusingan kalah mati. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here