Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan penangguhan permohonan 13 lelaki dan seorang wanita untuk dilepaskan dengan jaminan atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Menurut surat yang dikeluarkan mahkamah itu, ia berikut permohonan peguambela untuk melanjutkan tarikh pengemukaan laporan perubatan terhadap kesemua tertuduh.

“Adalah dimaklumkan bahawa permohonan penangguhan bagi pengemukaan laporan perubatan adalah dibenarkan.

“Bagaimanapun, pihak peguam diminta untuk memfailkan laporan berkaitan dan selanjutnya mahkamah akan menetapkan tarikh bagi keputusan berkenaan,” kata surat berkenaan.

Pada 24 Ogos lalu, pihak pendakwaan membantah permohonan 13 lelaki dan seorang wanita untuk dilepaskan dengan jaminan atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badius Zaman Ahmad berhujah pendakwaan membantah permohonan itu dengan mengambil kira kesalahan dilakukan kesemua tertuduh adalah serius dan berkepentingan awam kerana melibatkan keselamatan negara serta terdapat isu antarabangsa.

Beliau yang mengendalikan kes bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman berkata, sekiranya kesemua tertuduh dilepaskan dengan jaminan, berkemungkinan saksi pendakwaan dan mangsa akan diganggu tertuduh kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai hubungan keluarga.

Peguam, Norma Goh Kim Lian yang mewakili 10 daripada 14 tertuduh pula berkata, kes tersebut tidak melibatkan keganasan dan kecederaan serta tidak melibatkan wang tebusan malah mereka tidak mengenali atau mempunyai hubungan dengan mangsa.

Hakim K. Muniandy kemudian menetapkan hari ini untuk keputusan permohonan jaminan itu.

Pada Oktober 2022, 13 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan secara niat bersama seorang wanita untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini pada 10.40 malam 28 Sept 2022 mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang membawa hukuman minimum penjara 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 7 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi dan bukan Mahkamah Sesyen. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here