Anthony Loke semasa mengadakan sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di laluan keluar BSI , Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Maklumat data peribadi pemilik kenderaan Singapura yang mendaftar permit masuk kenderaan (VEP) tidak akan bocor atau disalahgunakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jaminan tersebut diberikan pihaknya dan data peribadi warga Singapura akan dilindungi mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

“Kita ada undang-undang. Apa sahaja maklumat yang diminta pihak berkuasa Malaysia, sama sahaja dengan maklumat yang diminta pihak berkuasa Singapura.

“Jika kenderaan Malaysia hendak masuk ke sana (Singapura), anda akan tanya soalan tertentu, sama bila kenderaan Singapura hendak masuk Malaysia.

“Jadi, anda kena terimalah dan berlaku adil pada kita,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini hari ini bagi meninjau pelaksanaan penguatkuasaan VEP.

Anthony berkata demikian ketika menjawab soalan media dari Singapura mengenai kebimbangan kebocoran maklumat peribadi pendaftar VEP.

Bagi tujuan pendaftaran VEP,  pemohon perlu mengisi data peribadi seperti insurans kenderaan, salinan kad pengenalan serta Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE), katanya.

Ditanya mengenai kekecewaan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akibat kelewatan proses di pusat pengumpulan pendaftaran dan pemasangan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) VEP, Antyhony memberi jaminan perkara itu akan diatasi.

Katanya, pihak berwajib akan memudahkan pendaftaran bagi VEP selain membantu memperhebatkan proses permohonan tersebut.

Dalam pada itu, katanya, pelaksanaan VEP tidak digunakan untuk mengesan pemilik atau pemandu kenderaan Singapura mempunyai saman tertunggak yang belum dijelaskan.

Langkah itu lebih kepada meningkatkan tahap keselamatan dengan memastikan mempunyai rekod bagi setiap kenderaan asing yang keluar dan masuk ke negara ini.

“Sudah tentu apa sahaja kenderaan yang masuk ke Malaysia perlu ikut undang-undang, sama juga kita masuk ke sana, kena ikut undang-undang.

“VEP ini salah satu cara untuk kita tahu siapa yang masuk ke Malaysia, bila mereka masuk, bila mereka keluar dan jika ada yang langgar undang-undang, mereka kena selesaikanlah saman sebelum mereka keluar.

“Saya ada maklumkan, pelaksanaan VEP di Singapura ini fasa pertama, akan datang kita akan laksanakan di sempadan utara, jadi kita tak sasarkan kenderaan Singapura sahaja, selepas ini kenderaan dari Thailand juga akan kita laksanakan VEP,” katanya.

Tambahnya, kementerian tidak meletakkan sasaran atau mengenakan kouta berapa banyak kenderaan persendirian dan kenderaan komersil yang memohon VEP kelak.

Katanya, pengguna hanya perlu mendaftar sekali sahaja bagi memohon VEP dan hanya perlu memperbaharui RFID selepas lima tahun kerana jangka hayatnya bertahan untuk tempoh itu sahaja.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

112,658 kenderaan Singapura sudah mohon VEP – Anthony

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here