SHAH ALAM – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 12.1, Lebuh Raya Lembah Klang (NKVE) arah Klang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Subang ke Setia Alam sekitar pukul 6.30 pagi.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan.

“Akibat pelanggaran itu, motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala pemandu kenderaan yang terlibat masih belum dapat dikenal pasti kerana melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan pemandu terbabit dan siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang merangkumi kesalahan berkaitan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan atau mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Thesigan di talian 010-563 2379 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here