Onn Hafiz ketika menjawab soalan lisan dalam sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dengan Singapura dijadualkan ditandatangani pada 8 Disember ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz berkata, memorandum persefahaman (MoU) berkenan kini dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

“Ini adalah hasil kerja keras pelbagai kementerian serta agensi di peringkat Persekutuan dan negeri serta rakan-rakan sejawat di Singapura.

“Di samping siri-siri mesyuarat yang dilaksanakan melalui pembentukan kumpulan-kumpulan kerja, kandungan perjanjian itu diperincikan lagi dalam Bengkel Perundingan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Singapura Bagi Pembangunan JS-SEZ yang diadakan pada 28 hingga 30 Ogos lalu,” kata Onn Hafiz (BN-Machap).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Onn Hafiz menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (PH-Kukup) mengenai tarikh perjanjian JS-SEZ akan dimeterai oleh pihak kerajaan Malaysia dan Singapura serta adakah kerajaan negeri sudah benar-benar bersedia dan membuat persiapan bagi menghadapi kesan apabila dilaksanakan nanti.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Johor berkata, walaupun inisiatif besar itu adalah satu langkah strategik yang berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi Johor, kerajaan negeri tidak pernah sekali-kali menafikan apatah lagi mengambil lewa terhadap cabaran yang dibawanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan sedang dan akan mengambil langkah menangani cabaran-cabaran tersebut menerusi beberapa langkah.

Pertama katanya, persaingan tenaga kerja yang berkualiti adalah cabaran terbesar yang dihadapi dengan peluang pekerjaan di JS-SEZ bakal menarik minat ramai termasuk dari luar Johor.

Justeru, katanya, jika tiada penawaran tenaga kerja dari kalangan warga tempatan boleh mengundang kepada permintaan tenaga mahir dari luar negara.

“Kedua, peningkatan kos hidup. JS-SEZ dijangka membawa peningkatan dalam nilai hartanah serta kos sara hidup di kawasan sekitarnya,” ujarnya.

Keadaan itu, katanya, memberi cabaran kepada rakyat tempatan terutama golongan B40 dan M40 yang mungkin berhadapan kesukaran menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi pesat.

“Ketiga, risiko ketidakseimbangan pembangunan. Tumpuan pembangunan yang intensif di kawasan JS-SEZ juga berpotensi menyebabkan ketidakseimbangan pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar atau yang tidak termasuk dalam zon ekonomi ini,” jelasnya.

Namun, katanya, kerajaan negeri mengambil beberapa langkah dalam berdepan cabaran-cabaran itu dan pada masa yang sama mengoptimumkan manfaat diperoleh daripada perjanjian JS-SEZ.

Antara tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan, pertamanya adalah membangunkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing.

Beberapa inisiatif dilancarkan seperti program-program latihan kemahiran, peningkatan kapasiti teknikal serta kolaborasi dengan institusi pendidikan dan industri.

Kedua, kata Onn Hafiz, menyediakan peluang perumahan mampu milik bagi menangani isu peningkatan kos hartanah.

“Kerajaan negeri telah merangka dasar yang bertujuan meningkatkan kuantiti projek perumahan mampu milik untuk rakyat Johor terutamanya di kawasan JS-SEZ.

“Ketiga, memastikan pembangunan seimbang dan inklusif. Kerajaan negeri beriltizam memastikan bahawa pembangunan yang berlaku di JS-SEZ. Kita akan luaskan ke daerah lain,” katanya.

Keempat, katanya, memperkasa usahawan tempatan sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi yang lebih agresif dan dinamik.

Kerajaan negeri juga akan memberikan insentif dan sokongan kepada usahawan tempatan untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Kelima pula, menurutnya, melindungi identiti dan budaya tempatan, kerajaan negeri akan memastikan bahawa nilai dan budaya Bangsa Johor terus dipelihara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast