Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) ‘lebih sudu daripada kuah’ dalam Kerajaan Perpaduan terutama apabila melibatkan soal tuntutan jawatan dan kuasa di Johor.

Mengakui Johor bukan kerajaan negeri yang ditubuhkan atas persefahaman Kerajaan Perpaduan namun, katanya, ia berlaku lebih daripada kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan.

Sehubungan itu, jelasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, Johor tidak terikat secara langsung dengan kerjasama BN-PH itu sama seperti Kerajaan Negeri Sarawak.

“Kalau betul PH nak berlaku adil, patutnya minta Bang Non (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) tuntut juga dari Abang Jo (Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg) supaya buatkan Kerajaan Perpaduan di Sarawak sebab GPS (Gabungan Parti Sarawak) adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan hari ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Nur Jazlan turut menyelar parti-parti tertentu yang menjadikan Kerajaan Negeri Johor seperti pasar borong termasuk Amanah yang menuntut pelbagai jawatan seperti Ecxco, malah sehingga ke ketua kampung meskipun hanya mempunyai satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada hakikatnya, kata beliau, bukan hanya peringkat Johor, malah di Persekutuan sekali pun PKR dan Amanah bukanlah parti penting atau layak duduk semeja dalam permainan `poker politik’.

“Dalam konteks permainan poker politik ini, hanya mereka yang benar-benar ada skil, kekuatan dan pengalaman saja yang layak dan mampu bertahan di meja utama.

“Bagi saya hanya UMNO, DAP dan GPS saja yang boleh diibaratkan sebagai pemain poker profesional yang tahu bila nak bluff, bila nak raise dan bila nak ambil risiko.

“Dua parti ini saja pemain sebenar dalam politik Malaysia sejak awal merdeka dulu.

“Mereka (PKR dan Amanah) hanya sesuai duduk depan mesin kuda atau main roulette sahaja sebab mereka mengharapkan nasib baik dan kekalahan lawan sahaja dan bukan kekuatan jentera parti atau strategi,” katanya.

Tambah beliau, dalam Kerajaan Perpaduan, hanya UMNO dan DAP merupakan pemain utama dan menguasai `meja poker’ disebabkan mempunyai kekuatan ahli, penyokong dan jentera.

Sehubungan itu, katanya, PKR dan Amanah perlu sedar mereka tidak mempunyai kelebihan tersebut, justeru tidak patut untuk duduk bersama di `meja poker’.

“Lagi pun, nasib bukanlah satu strategi yang boleh diharapkan dalam jangka masa panjang. Strategi benci UMNO macam zaman dulu pun tak boleh dipakai sekarang kerana UMNO sudah jadi kawan pergantungan,” katanya.

Kenyataan Nur Jazlan itu merujuk kepada desakan berterusan PH Johor kepada BN supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di negeri itu selepas kejayaan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Sabtu lalu.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dilaporkan berkata, penubuhan Kerajaan Perpaduan tidak perlu ditangguhkan lagi sekiranya mereka merasakan gabungan PH-BN yang terbaik untuk masa depan negara dan Johor. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here