Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar

JOHOR BAHRU – Polis membongkar kegiatan menyeludup migran warga Bangladesh yang dibawa masuk dari Singapura ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini baru-baru ini.

Migran berkenaan yang masuk dari Lapangan Terbang Changi, Singapura dibawa masuk berjalan kaki melalui laluan terpencil dari republik itu ke BSI.

Mereka akan ditempatkan di sebuah premis sementara atau dikenali rumah penampungan di Taman Daya di sini dan dikenakan bayaran RM20,000 untuk setiap seorang.

Bagaimanapun modus operandi tersebut berjaya dikesan selepas menyerbu rumah penampungan berkenaan pukul 5.30 pagi pada 9 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, berdasarkan maklumat risikan dijalankan berkaitan aktiviti penyeludupan migran sekitar Tambak Johor itu dikesan bergiat aktif sejak Ogos lalu.

“Hasilnya, serbuan dijalankan di kediaman berkenaan yang dijadikan rumah penampungan atau transit bagi menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum menuju ke destinasi tertentu.

“Dalam serbuan itu, seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga asing yang berperanan sebagai pengurus atau transporter atau penjaga rumah penampungan itu berjaya ditahan.

“Selain itu, 21 migran lelaki warga Bangladesh yang berusia antara 19 hingga 44 tahun juga berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar malam tadi.

Kumar berkata, siasatan awal mendapati, migran itu akan diurus oleh ejen di Bangladesh dengan kadar bayaran sebanyak  550,000 Taka atau RM20,000 setiap seorang sebelum transit di Lapangan Terbang Changi.

Migran tersebut, katanya, kemudian diuruskan oleh ejen sindiket untuk masuk ke Malaysia dengan cara berjalan kaki melalui laluan terpencil menuju ke BSI.

Seterusnya, migran akan diambil oleh transporter untuk dihantar ke rumah penampungan, jelasnya.

Pada serbuan itu turut dirampas, 25 telefon bimbit pelbagai jenama, 22 passport warga Bangladesh, wang tunai RM1,200, Singapura Dolar SGD2 dan mata wang Bangladesh sebanyak 5,460 Taka serta satu kad ATM.

Selain itu, ujarnya, turut dirampas satu surat perjanjian peminjam kereta, serangkai anak kunci premis, dua kereta iaitu Perodua Axia dan Perodua Myvi serta alat kawalan jauh kereta.

Kertas siasatan bagi semua yang ditahan reman itu telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan diarahkan untuk menuduh 21 migran di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tambahnya, empat pengurus atau transporter atau penjaga rumah penampungan itu mendapat arahan untuk dituduh di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Semua 21 migran telah dituduh pada 23 September lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan kes akan disebut semula pada 13 Oktober ini, manakala pertuduhan terhadap empat orang pengurus atau transporter atau penjaga rumah penampungan itu akan dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini,” katanya.

Pada masa sama, Kumar berkata, pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang mengambil kesempatan berkomplot dengan sindiket penyeludupan migran demi mendapat habuan tertentu.

“Kerjasama masyarakat dengan menjadi mata dan telinga polis dilihat sebagai salah satu mekanisma untuk membendung kegiatan ini.

“Sekiranya kegiatan ini tidak dikawal akan memberi implikasi besar terhadap isu keselamatan negara, moral, keharmonian sejagat dan kedaulatan negara,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here