Syed Hussien mengangkat sumpah sebagai ADUN Mahkota pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota yang baharu, Syed Hussien Syed Abdullah mengangkat sumpah jawatan itu pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Syed Hussien, 40, mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sewaktu permulaan prosiding terbabit.

Beliau juga menandatangani surat sumpah jawatan berkenaan.

Syed Hussien dipilih sebagai ADUN Mahkota selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada 28 September lalu dengan majoriti 20,648 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menang kerusi DUN Mahkota dengan memperoleh keseluruhan 27,995 undi manakala Mohamad Haizan mendapat 7,347 undi.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut mengucapkan tahniah kepada Syed Hussein sambil berharap Adun baharu itu dapat menjalankan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here