Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KOTA TINGGI – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua negeri terutama yang kerap dilanda banjir agar melakukan persediaan dan menambah baik cara pengurusan risiko menghadapi bencana alam itu menjelang Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah tersebut penting dalam mengurangkan korban nyawa, kerugian serta kemusnahan harta benda kesan daripada bencana alam itu.

“Langkah-langkah ini kita akan laksana seluruh negara dan saya meminta semua pengerusi jawatankuasa bencana negeri di mana SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) adalah pengerusinya (membuat langkah persediaan itu).

“Maka langkah sama hendak dilakukan. Kita juga baru mendapat kelulusan Kabinet dua minggu lalu iaitu dasar pengurangan risiko negara dan SOP (Prosedur Operasi Standard) itu digunakan untuk koordinasi dalam mengurangkan risiko bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Kesiapsagaan Nasional 2024 di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya di sini hari ini.

Ahmad Zahid melawat tapak pameran selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Kesiapsagaan Nasional 2024 di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi hari ini

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata, langkah tersebut sudah dilakukan sebelum ini serta ternyata dapat mengurangkan kesan dan jumlah kerugian akibat banjir.

Beliau berkata, nilai kerugian bencana banjir negara pada tahun lalu berjaya dikurangkan kepada kira-kira RM755 juta berbanding RM1.03 bilion pada 2022.

Jelasnya, pengurangan kerugian bencana banjir sebanyak RM275 juta pada tahun lalu adalah hasil daripada pengurusan cekap dan berkesan susulan pelaksanaan konsep Pengurangan Risiko Bencana.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu berkata, walaupun bencana tidak boleh dielakkan namun risiko bencana boleh diuruskan dengan impaknya boleh diminimumkan.

“Ini semua dapat dilakukan apabila tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana sentiasa diamalkan dan dipertingkatkan semua pihak,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast