Gambar hiasan

TANGKAK – Seorang wanita kerugian RM485,100 selepas diperdaya kononnya tidak membayar cukai pendapatan dan akan ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bila-bila masa.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa kelmarin.

“Mangsa mendakwa menjadi mangsa penipuan job scam. Semuanya bermula pada Julai lalu selepas dia menerima mesej daripada suspek supaya memuat naik aplikasi We Sing.

“Seterusnya mangsa memuat naik video nyanyian untuk mendapat ganjaran berupa gift,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Mangsa kemudian dihubungi suspek bernama Mr Jimmy dan mendakwa pemilik aplikasi We Sing telah ditangkap oleh pihak SPRM.

Suspek, kata Roslan, telah menakutkan mangsa dengan mendakwa wanita tersebut tidak membayar cukai pendatapatan persendirian berjumlah RM200,000.

Mangsa juga diugut boleh ditangkap pihak SPRM pada bila-bila masa.

Terpedaya dan takut dengan ugutan tersebut, wanita berkenaan bermula 10 Julai sehingga 30 September lalu membuat bayaran ke dalam 19 akaun suspek.

Semuanya melibatkan 64 transaksi melalui mesin ATM sebelum mangsa menyedari telah ditipu setelah menceritakan perkara tersebut kepada anaknya.

Tambah Roslan, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh didenda.

“Polis Daerah Tangkak menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran secara atas talian yang diberikan.

“Dapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenanyah komersil terkini dengan mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil menerusi Facebook, Instagram dan TikTok,” ujarnya.

Sekiranya menjadi mangsa penipuan katanya, hubungi National Scam Response Centre menerusi talian 997 dengan segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here