Keadaan asrama warga asing di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka kelmarin yang menjadi lokasi seorang wanita orang kurang upaya (OKU) lembam diculik, dipukul dan dikurung kelmarin.

MELAKA – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) lembam melalui detik cemas apabila diculik, dipukul dan dikurung
dua lelaki warga Bangladesh di sebuah bilik asrama warga asing di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa berusia 22 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan keluarganya yang mencarinya di kawasan sekitar asrama pekerja buruh binaan itu kira-kira 30 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika ditemukan, mangsa  dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan wayar pengecas telefon bimbit serta mengalami cedera ringan di kepala.

“Wanita OKU berkenaan sebelum itu dikatakan berada di belakang rumah bersendirian sebelum didatangi dua suspek iaitu lelaki warga Bangladesh berusia 20 serta 36 tahun yang membawanya masuk ke dalam sebuah rumah.

“Kehilangan mangsa bagaimanapun disedari keluarganya selepas dia tidak pulang ke rumah dan melakukan operasi pencarian bersama-sama jiran di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa wanita orang kurang upaya (OKU) lembam melalui detik cemas apabila diculik, dipukul dan dikurung
dua lelaki warga Bangladesh di asrama warga asing di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka kelmarin.

Tambahnya, hasil soal siasat mangsa mendakwa suspek telah memukul kepalanya menggunakan tukul menyebabkannya pengsan sebelum diselamatkan ahli keluarga.

“Bagaimanapun, tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut dan saksi bebas yang melihat kejadian berlaku.

“Siasatan tempat kejadian juga tidak menemukan kesan darah sebaliknya hanya sebatang tukul besi dan wayar pengecas telefon yang dipotong di jumpai di lokasi,” ujarnya.

Christopher berkata, susulan itu dua suspek warga asing itu berjaya diberkas di tepi jalan di Batu Berendam semalam.

“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324/342 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here