Presiden Persatuan Agensi Perlancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berucap semasa perjumpaan dengan 81 syarikat umrah berlesen mengenai dakwaan sebagai kartel umrah di Ballroom Grand Barakah Hotel, Ampang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 4 OKTOBER 2024.

AMPANG – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) mendakwa teraniaya susulan keputusan keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan terhadap 81 ahlinya.

Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, ini kerana kesemua syarikat itu sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Tegasnya, kesemua syarikat berkenaan juga tidak pernah mengadakan pakatan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia bermula pada 2023.

Namun kata beliau, apa yang mengecewakan ada di kalangan syarikat itu dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta sehingga mencemar reputasi dan nama baik mereka.

“81 syarikat ini adalah sebahagian daripada 300 syarikat yang hadir Mesyuarat Agung Tahun PAPUH pada tahun 2022.

Presiden Persatuan Agensi Perlancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham hadir pada perjumpaan dengan 81 syarikat umrah berlesen mengenai dakwaan sebagai kartel umrah di Ballroom Grand Barakah Hotel, Ampang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 4 OKTOBER 2024.

“Mereka ini yang akur dengan MyCC yang minta menyediakan dokumen dan data.

“Namun mereka ini yang dikenakan saman sedangkan mematuhi undang-undang berbanding yang tidak hantar dokumen tidak dikenakan apa-apa.

“Paling tinggi dikenakan penalti RM10 juta berdasarkan 10 peratus daripada perolehan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan barisan peguam PAPUH dengan 81 syarikat umrah terbabit di Barakah Hotel di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razali menegaskan tindakan yang dikenakan MyCC ke atas syarikat tidak menggambarkan penjanjian penetapan harga di kalangan mereka.

Jelas beliau, ini kerana harga pakej umrah yang dikenakan syarikat itu adalah berbeza di kalangan mereka malah ada harga tidak sama yang disarankan kementerian.

“Apa yang kita tidak puas hati, sekiranya MyCC ingin menjalankan siasatan, boleh teruskan. Tetapi kenapa hendak maklumkan kepada orang ramai dan dedahkan nama semua syarikat terbabit?

“Ia masih lagi dalam siasatan dan baru keputusan cadangan dan secara langsung ia menjejaskan operasi syarikat itu.

“Ada syarikat yang berdepan pembatalan pakej yang telah merugikan mereka.

Suasana orang ramai semasa perjumpaan 81 syarikat umrah berlesen mengenai dakwaan sebagai kartel umrah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Ballroom Grand Barakah Hotel, Ampang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 4 OKTOBER 2024.

“MyCC tidak boleh begini dan sepatutnya tindakan dibuat selepas ada keputusan akhir dan ini menunjukkan terdapat agenda tertentu di mana syarikat didedahkan mengikut abjad namun sebuah anak syarikat GISB Holdings (GISBH) diletakkan kedudukan teratas sedangkan ia bermula dengan abjad ‘G’,” katanya.

Razali turut mengesahkan akan bertemu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup minggu depan bagi membincangkan isu itu selain barisan peguam PAPUH akan meneruskan untuk menfail saman fitnah.

Baru-baru ini, MyCC mengeluarkan keputusan cadangan terhadap 81 perusahaan kerana dipercayai terbabit dengan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia bermula pada 2023.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dalam kenyataan memaklumkan perlakuan kartel mereka boleh dianggap sebagai pelanggaran di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Mohd Hishamudin menjelaskan keputusan cadangan dikeluarkan MyCC adalah dapatan awal, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan telah melanggar Akta Persaingan 2010 pada tahap ini.

Beliau berkata, seperti diperuntukkan dalam akta berkenaan, semua perusahaan yang dinamakan dalam keputusan cadangan itu telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan MyCC.

“Perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan.

“Selepas itu, mereka juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada MyCC pada tarikh yang akan ditetapkan kelak,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan terlibat bersama bukti yang diperoleh semasa proses penyiasatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here