Tertuduh, Mohamad Faizul Baharudin, 44, didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, pada Jumaat, atas pertuduhan menipu dengan menawarkan pekerjaan juruterbang terhadap seorang wanita enam tahun lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 OKTOBER 2024.

IPOH – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menipu dengan menawarkan pekerjaan juruterbang terhadap seorang wanita enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Faizul Baharudin, 44, membuat pengakuan itu dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Shariff.

Mohamad Faizul didakwa memperdayakan mangsa Latipah Ahmad Sudan, 64, untuk mempercayai bahawa tertuduh berupaya mendapatkan pekerjaan sebagai juruterbang.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan RM24,000 dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 22 Disember 2016 hingga 8 April 2018 antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang di hadapan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank CIMB di Gunung Rapat, Ipoh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini mencadangkan jaminan RM10,000.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert S Gnanarajan memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan memandangkan tertuduh perlu menanggung isteri dan lima anaknya yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 27 November depan.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan seorang lelaki dengan licik menyamar sebagai juruterbang, doktor dan peguam.

Lelaki itu dikesan menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya, juruterbang Airbus, jurutera Petronas, jurulatih sukan ragbi dan pelbagai kerjaya tidak wujud. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here